38 5 MAC 2017- Bola Sepak- Liga Super Malaysia 17- Cheng
Hoe puas Kedah benam Melaka United.
ALOR SETAR- Ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe
berpuas hati dengan aksi konsisten anak buahnya ketika Helang Merah yang
beraksi tanpa beberapa tonggak utama melakar kemenangan besar 4-0 ke atas
Melaka United (MU) dalam aksi Liga Super semalam.
Kemenangan besar di Stadium Darul Aman itu
menyaksikan Kedah kembali menduduki tangga teratas Liga Super dan lebih manis
ia dilakukan di hadapan lebih 25,000 penyokong. Ia adalah kemenangan kelima
dilakar skuad bimbingan Cheng Hoe yang menyaksikan Kedah kini mengumpul jumlah
18 mata sekali gus melebarkan rekod tanpa kalah dalam saingan setakat ini. "Apa yang penting adalah pasukan mendapat
kemenangan dan pemain dapat meneruskan aksi konsisten serta fokus memburu
kejayaan dalam setiap perlawanan.
"Keseluruhan pemain bermain dengan baik
walaupun tanpa beberapa tonggak seperti Baddrol Bakhtiar, Fakri Saarani dan
Farhan Roslan yang belum bersedia akibat kecederaan, " katanya.
Bagaimanapun, katanya, pemain gantian terutama pemain muda berjaya menunjukkan
keyakinan yang tinggi dan menggalas tugas dengan baik.
"Tahniah juga saya ucapkan kepada Ken Ilso dan Sandro yang masing masing menyumbang dua gol dan juga kepada seluruh pasukan yang sama bekerja keras dan bermain dengan baik sehingga berjaya menghasilkan gol kemenangan pada perlawanan ini. "Kita memang mengharapkan serangan dan jaringan seperti yang dihasilkan oleh Ken Ilso dan Sandro dalam perlawanan ini dan yang penting, rakan lain juga dapat membantu membuat hantaran yang baik sehingga gol dapat dihasilkan, " katanya.
Ditanya mengenai prestasi Sandro yang semakin meningkat dengan sumbangan dua gol, beliau berkata Sandro yang kini menunjukkan tahap permainan yang meyakinkan selepas pulih dari kecederaan dan direhatkan dalam dua perlawanan lalu.
posted bv luqman hakeem
Comments
Post a Comment